Dapatkan lirik nasyid. Klik di sini. alJabal banner :: Pendakian Menuju Impian Nun di sana... a
l
J
a
b
a
l
Dapatkan disini...
Ku coretkan sebuah kisah kehidupan...


-Nasyidblog-

Sesekali ku terkenang...

"Jika bulan itu umpama Rasulullah, aku ingin menjadi pendampingnya yang paling akrab. Jika bulan itu agama kita, aku mahu menjadi pendampingnya yang paling akrab."

 

 

 

 


 

 


coretan terdahulu

August 2003 / September 2003 / October 2003 / November 2003 / December 2003 / March 2005 / April 2005 / May 2005 / June 2005 / July 2005 / August 2005 / November 2005 /


***********************

**Banjaran Kehidupan**


**************************
 

-hiwaar-


***************************

Sebarang komen atau anda ingin berhubung dengan penulis, sila hantar email anda ke sini.

***************************

 

Disklaimer: Cerita ini ada kena-mengena dengan yang hidup, masih meneruskan hidupnya, dan yang hidup tak ingat mati.  Sebarang coretan yang dititipkan tiada bertujuan menyentuh sensitiviti sesiapa sahaja yang sensitif. Jikalau sebarang entri di sini terkena sesiapa, harap dimaafkan. Bukankah seorang mukmin itu saling nasihat-menasihati.
Wallahu'alam.


Paparan terbaik 1024 x 768

hak cipta tak terpelihara jabal_nurr
pergunakanlah isi kandungan sebaiknya

version xxx

 

This page is powered by Blogger. Isn't yours?
Powered by Ukhuwwah!


Weblog Commenting by HaloScan.com
 

*************************************************
Monday, June 20

Astana Fantasia 3 (AF3)
Syarat tahun ini seperti dua siri yang sudah, walang atau gemilang ditentukan oleh jumlah undian menerusi Sistem Mesej Sia-sia (SMS). Tahun ini entah siapa pula yang akan dinobatkan sebagai sang dewata yang akan memiliki astana fantasia seterusnya mengepalai Kampong Gumbira. Hangat, memang hangat. Menambahkan lagi kehangatan, puluhan tukang kutuk baik profesional atau tidak telah diupah khas untuk mengutuk persembahan muda mudi yang bersaing dalam rancangan realiti kehidupan itu. Seperti tahun-tahun yang sudah, rancangan itu akan dipertontonkan menerusi kaca televisyen sebanyak seratus siaran seminggu, biar seluruh penduduk Kampong Gumbira, baik tua atau muda, sihat atau sakit, lapang atau sibuk, papa atau kaya, hidup atau mati, semuanya punya kesempatan buat menonton acara pemilihan sang dewata itu.

Astana Fantasia agam berdiri dipagari rumah-rumah kotak penduduk Kampong Gumbira. Di situ, muda mudi yang berangan untuk menjadi sang dewata akan diasuh bersiul. Ya, bersiul! Itulah syarat utama untuk menjadi sang dewata. Anak-anak Kampong Gumbira yang terpilih akan dididik dengan teknik bersiul yang betul. Panjang lancipan bibir, kelangsingan siulan, mimik muka, teknik talaan pinggul, teknik pusing-pusing dan pelbagai lagi. Kamera yang menjejali tiap ruang Astana Fantasia siap untuk merakamkan kehidupan muda mudi yang bolak-balik di dalamnya buat tatapan seluruh penduduk Kampong Gumbira hinggakan ramai muda mudi menjadi bodoh kerana menonton rancangan itu. Hingga ada yang mahu menjajarkan seluruh kehidupannya supaya sama dengan kehidupan seorang calon sang dewata. Sampai masa yang pergi tak kembali digunakan khusus mengorek perkara-perkara remeh. Apa warna kegemaran? Makanan kegemaran? Ciri-ciri wanita idaman? Nama kucing kesayangan? Dah berpunya atau belum? Pengalaman pahit? Pengalaman melihat toyol? Air tin kegemaran? Jenama roti kegemaran? Ingin tahu semuanya, ingin buat semuanya. Sampai ada yang dimasukkan ke hospital kerana alergi makan udang akibat mahu seratus peratus dan tanpa was-was sama seperti idolanya.

Abang Ortodoks atau nama sebenarnya Sunnah bin Quran sudah mati kutu untuk menyedarkan seluruh penghuni Kampong Gumbira bahawa kelewahan dalam perkara-perkara remeh itu sengaja diwujudkan supaya mereka lalai dan lupa tentang tujuan dan tanggungjawab mereka di dunia ini. Hingga dia beroleh gelaran ortodoks kerana kesungguhan memperjuangkan fikrahnya. Dia mahu penduduk-penduduk Kampong Gumbira tahu, ini adalah sebahagian daripada rancangan jembalang-jembalang yang memusuhi mereka. Jembalang-jembalang itu diketuai oleh seekor jembalang pendek gendut yang mempunyai tatu bintang bersegi enam di dahi. Jembalang-jembalang itu sengaja menyesakkan fikiran penduduk Kampong Gumbira dengan lagu-lagu, wayang gambar, pergaulan bebas, rokok, sukan, keseronokan, makanan, fesyen dan kepercayaan cacamarba. Secara halus, jembalang-jembalang itu menyerang cara fikir dan secara berperingkat akan menakluki Kampong Gumbira beserta kampong-kampong yang berada disekitarnya dengan menggunakan modus operandi yang sama. Abang Ortodoks bimbang, jika nanti penduduk kampung mampu menjujurkan bergelen air mata apabila seorang peserta rancangan Astana Fantasia tersingkir tapi tidak ketika saudara-saudara seagama mati dihenyak jembalang-jembalang pongoh. Abang Ortodoks risau, jika nanti anak-anak muda senang dihunjam ke dalam kuburan besar kerana tidak berdaya di medan perang akibat keputusan bekalan rokok. Abang Ortodoks gundah, jika nanti muda mudi lebih kenal Beckham si penzina daripada pejuang-pejuang yang hidup matinya adalah semata kerana Tuhan. Abang Ortodoks gelisah, jika nanti penduduk kampong akan lebih sibuk membelek katalog fesyen daripada membelek manual penentangan jembalang yang tertulis dalam buku Tuhan dan himpunan kata-kata pesuruhNya. Risau, risau dan risau. Kerana risau, dia terus menyeru penduduk kampong supaya sedar akan perangkap halus yang telah dipasang oleh para jembalang.

Kerisauan Abang Ortodoks berasas. Malam minggu itu, ketika penduduk Kampong Gumbira ternganga di hadapan peti televisyen menyaksikan rancangan Astana Fantasia, soldadu jembalang sudah berada di perbatasan Kampong Singa Pura-pura yang hanya dipisahkan dengan Kampong Gumbira oleh Selat Sebarau. Ketumbukan jembalang itu diketuai oleh jembalang gendut pendek yang menunggang helang raksasa. Abang Ortodoks lari tak cukup tanah, menjuju dia ke arah pentas yang sesak dengan sepuluh peserta yang sedang bersiul sambil menghayun pinggul kanan kiri.
Gumam. Peserta Astana Fantasia berhenti bersiul. Tukang kutuk profesional yang duduk hampir dengan pentas senyap. Penonton yang kebanyakannya bertudung juga terdiam. Sunyi.

“Saya, Sunnah bin Quran membawa pengkhabaran yang mesti kita bimbangkan!” Abang Ortodoks jerit sepenuh hati.
“Kamu semua mesti percaya kepada saya, dan selagi mana kamu berpegang dengan kata-kata saya, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya!” Abang Ortodoks jerit lagi.
“Jembalang-jembalang itu tidak akan redha dengan kamu hinggalah kamu akur dengan cara hidup mereka!” Abang Ortodoks menambah, isi auditorium masih senyap.
“Sekarang mereka sedang menyerang kita, berjuanglah dengan penuh keimanan hingga nanti batu-batu dan pokok-pokok akan memberitahu kamu di mana jembalang-jembalang itu bersembunyi kecuali pohon Gharqad kerana pohon itu milik jembalang-jembalang berkenaan!” Abang Ortodoks menujah-nujah tangan ke angkasa, semangat.
“Tipu!” Jerit salah seorang penonton. Abang Ortodoks kenal benar akan pemilik suara itu, Haji Malboro, jiran sebelah rumahnya yang naik haji tahun lepas.
“Ortodoks!” Itu pula suara Hajah Habib Permata, bini kepada Haji Malboro.

O-R-T-O-D-O-K-S! J-U-M-U-D! K-O-L-O-T!

Muda mudi, tuan-tuan haji dan puan-puan hajah, pakcik-pakcik dan makcik-makcik, adik-adik, kakak-kakak dan abang-abang yang memenuhi auditorium Astana Fantasia sahut-sahutan seperti ungka. Bingit auditorium dengan tiga patah kata itu, khas buat Abang Ortodoks.

“Pergi kau Ortodoks, daripada kau berbuat kacau di sini, lebih baik kau pulang ke rumah dan makan biskut mayat!” Jerkah salah seorang tukang kutuk profesional. Sekonyong-konyong Sunnah bin Quran atau yang digelar oleh penduduk Kampong Gumbira sebagai Abang Ortodoks itu dihalau keluar dari auditorium.

Abang Ortodoks tidak patah semangat, walaupun dia berseorangan dia akan tetap berhadapan dengan jembalang gendut pendek. Malam itu, seorang pun tidak bersama Abang Ortodoks ke perbatasan. Pemuda yang diajak akan pergi hanya jika diberi rokok percuma, awek cun atau tiket ke Madrid. Pemudi yang diajak hanya akan pergi jika diberi baucar membeli-belah percuma di gedung Akusetan, album-album percuma atau tiket wayang percuma di Panggung Tengok Gila Virus (TGV). Malam itu, Abang Ortodoks sendirian menentang jembalang gendut pendek dan ketumbukan tenteranya. Dia berjuang mati-matian dan penuh dengan kesabaran. Keazaman dan kesabaran Abang Ortodoks itu sampai mengundang bimbang di hati jembalang gendut pendek, bimbang kalau-kalau ada orang yang telah terpengaruh dengan seruan Abang Ortodoks. Orang seperti Abang Ortodoks, kalau seratus akan mampu menewaskan dua ratus, kalau seribu akan mampu menewaskan dua ribu. Malam dan dingin menjadi saksi kematian Abang Ortodoks yang penuh dengan kemuliaan. Jasad Abang Ortodoks telah dipijak oleh helang raksasa dan sebelum jasad itu luluh menjadi cebisan daging, Abang Ortodoks sempat bersumpah bahawa nanti akan ada satu golongan yang berpaut teguh dengan kata-katanya. Jembalang gendut pendek senyum sinis. Dia terus mara bersama helang raksasa dan jembalang-jembalang pongoh. Mara terus tanpa sebarang penentangan.

Di petik dr weblog mantap: H.I.
 
*************************************************
Thursday, June 9

IZZATUL ISLAM || Kami Harus Kembali
Berkobar tinggi panaskan bumi
Membakar ladang dan rumah kami
Darah syuhada mengalir suburkan negeri
Tiada kata lagi ... kami harus kembali

Siapa dituduh siapa menuduh
Mulut lancang asal bicara
Kami mujahid bukan perusuh
Berjuang pertahankan agama
Tanah lahir kami ... akan tetap dibela

Walau tertatih kami berjalan
Susuri bukit lembah dan hutan
ukan karna takut kami berlari
dengan asma Allah ... kami akan kembali

berbekal iman yang paling utama
mujahid maju songsong senjata
pasukan Allah akan membela
mereka atau kami binasa
bergelar syuhada ... hidup dijalan mulia

*****
Sila download di sini.
 
*************************************************
Wednesday, June 1

Engkau Masih Engkau

I

Engkau masih engkau.
S-E-S-A-T.

Gagal! Mana satu kaca, mana permata? Ya, kau gagal bezakan antara dua lalu kau hambur kata: "Bodoh! Engkau pelajar yang tidak kenal matlamat.” Fikir cacamarba, semberono menuduh. Fikir semberono, cacamarba menuduh. Aku sudah jelak dengan kutukan sebegitu. Memang sunnatullah, yang cintakan kebenaran akan dibenci, dihina dan dinista. Ini sunnatullah, cuba kau lihat ayat 13 Surah Al Baqarah. Engkau sama dengan mereka yang menista di dalam ayat itu. Aku tahu kau tak ambil pusing. Engkau peduli apa. Kata kau, Quran guna untuk menghambat mambang, tidak lebih dari itu. Bukan dustur hidup seperti yang ku laungkan. Engkau adalah engkau. Engkau adalah pemikir yang semberono, hidup cacamarba tanpa kenal perbatasan haram dan halal, engkau semua betul, engkau adalah engkau, jauhari yang tidak mengenal manikam. Apa kesudahan engkau? Aku faham benar, tapi tidak dengan engkau. Bukalah lembar kitab yang kau dakwa untuk menghambat mambang, lihatlah ayat 16 surah yang sama, begitulah nanti kesudahan engkau. Sesat.

Berlarilah kau dari timur ke barat, berjejallah dari utara ke selatan. Kutip sampah-sampah dunia, penuhkan raga nafsumu, warawiri dari loha sampai hari menerjah sore, mencari zulmat buat menghitamkan hati, engkau takkan puas, dunia yang kau cari umpama mengejar bayang-bayang, ibarat melunas dahaga dengan air laut. Teguklah, guri demi guri. Tak cukup besar? Tempayan demi tempayan. Teguk demi teguk, sampai kendi perutmu memboyot dan meletup, kau akan tetap dahaga. Kejarlah bayang-bayang, randuklah lautan lepas mengelilingi tujuh benua, supaya nanti kau boleh mendabik dada, “lihat apa digengamanku, bayang-bayang!”. Tidak mungkin sahabatku, dahaga tidak terlunas dengan air laut dan bayang-bayang tak mungkin kau genggam dengan tanganmu. Begitu juga dunia yang saban hari kau kejar, takkan habis, takkan sudah, takkan mampu memenuhi serakahmu.

Semalam masih bertenggek pada pangkin rasa. Masih mengalunkan bait-bait puisi yang membesit emosiku. Menolak kasihku terhadapmu terjelepok pada sudut sabar. Mahu saja aku menghancurkan bata-bata sabar itu menjadi puing-puing, dan membuang jauh kasih yang sekian lama berumah di hatiku. Biar atma ini pepak dengan meluat. Meluat melihat engkau, cantik muka buruk jiwa. Katamu, aku membuang masa mengajak kau melaksanakan amal-amal yang diredhai Allah. Kata kau lagi, nyahlah dari rutin hidupmu. Aku sebetulnya terkilan. Benar-benar terkilan. Kau salahkan pergi ke surau lima kali sehari sebagai punca kau gagal mendapat markah yang kau impikan dalam ujian pertengahan tahun. Kau salahkan aku, tidak menggunakan medium bahasa Inggeris sebagai kegagalan kau bertutur dalam bahasa itu dengan baik. Sedangkan, dengan mata kepalaku sendiri, aku lihat kau mencurahkan masamu sia-sia dengan memuat turun 1001 anime. Kau melopong pada ada malam sampai rengkung dinihari, melayani watak-watak anime kegemaranmu. Puluhan kali aku bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris, dan kau yang gagal bertutur dengan baik menjawab soalanku dalam bahasa Melayu. Sebetulnya, kau tertipu sahabat. Dan aku, takkan merobohkan dinding sabarku, malah akan merawat kasihku terhadapmu. Kalaupun kau tak mengerti, aku benar-benar mengerti yang aku kasihkanmu.

II

Engkau masih engkau.
S-E-S-A-T.

Sebetulnya sahabat, matlamat kita adalah untuk mencari redha Allah. Kita bukan dijadikan sia-sia. Bukan dihidupkan untuk mati. Bukan untuk menjadi hamba kepada apa-apa, kepada buku, kepada nafsu, kita adalah hamba Dia. Hanya Dia. Kita akan dipanggil pulang. Kita berhutang dengan Dia. Udara yang tiap detik kau mampatkan pada buntil-buntil alveolus, milik Dia. Neurotransmitter yang kau paksa merentasi ruang dua sinaps bagi membolehkan kau menggunakan sistem sarafmu, milik Dia. Haemoglobin yang berlari tanpa penat dalam pembuluh darahmu, milik Dia. Lymphocytes, suku sakat leukocytes yang bersarang dalam salur limfamu, menyerang bakteria dan virus penceroboh, milik Dia. Kon dan rod pada keluk retina matamu yang membolehkan kau mengenal warna-warna dan hitam putih alam, juga milik Dia. Vilus yang berjejal dalam usus kecilmu, menjulur menanti bola-bola makanan halal-haram yang kau sumbat ke dalam mulutmu, juga milik Dia. Otot jantungmu tanpa andar mengepam darah, juga milik Dia. Sebutlah dari hujung kaki sampai puncak kepala, luar dalam dirimu, segalanya milik Dia. Kau tak punya saham dalam penciptaan diri kau sendiri. Masih lagi bongkak dengan Dia? Masih mahu menjauhkan diri dengan Dia? Kau betul-betul manusia yang tidak tahu berterima kasih. Tidak tahu bersyukur.

Tetapi sahabat, aku akan tetap aku. Aku akan mengasihimu di sebalik gerigi bencimu. Kutuklah aku, seguni, dua guni, semahumu, aku akan terus menasihatimu. Aku akan terus mengajakmu mencintai Dia. Supaya kau bisa mengerti, cinta yang suci adalah cinta kepada Pencipta. Ini adalah manifestasi cintaku terhadapmu, juga cintaku pada Pencipta kita . Aku cuma mahu melihat kau riang gembira berlari bebas dalam taman syurga. Kala itu, aku akan menghampirimu, mendakapmu, berbisik lirih, inilah alasan mengapa aku adalah aku ketika kita di dunia dahulu. Dan kita, sama-sama menitiskan air mata, terharu. Engkaulah sahabatku.

Aku tetap aku.
S-A-B-A-R
Engkau masih engkau?
K-E-M-B-A-L-I-L-A-H


Hasil nukilan penulis muda; H.I.